Wednesday, July 15, 2009

Sukses Dengan Tawakkal dan Takwa

Assalamualikum wR wB

PAGI!!!

Allah berfirman :

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجاً) (الطلاق : 2 )
(وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْراً) (الطلاق : 3 )

Yang bermaksud :

Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar . Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. (Q.s . Al-Thalaq : 2 - 3)

Ayat kedua dan ketiga dari surah al-Thalaq diatas telah mengingatkan kita akan sebuah ayat yang tidak asing lagi bagi kita iaitu ayat "seribu dinar", bahkan mayoriti dari kita tidak mengetahui bahawa ayat ini telah tertulis didalam surah al-Thalaq dan bukan ditulis sebagai ayat seribu dinar.

Setakat ini tidak ada cerita yang "sahih" mengenai asal-usul dinamakan ianya sebagai ayat seribu dinar, atau ayat seribu keping emas. Bahkan cerita yang tuliskan dibeberapa riwayat mengenai asal-usul nama ayat ini sebagai ayat seribu dinar lebih kepada cerita dongengan yang tidak masuk akal dan yang meriwayatkan cerita berkenaan tidak jelas siapa orangnya.

Menurut kitab-kitab sejarah (sirah) Rasulullah saw dan para sahabat tidak pernah mengenal ayat seribu dinar yang mereka kenal ayat ini merupakan bahagian dari ayat-ayat didalam surah al-Thalaq.

Untuk mendapatkan kejayaan dan janji-janji Allah swt, maka sekurang-kurangnya manusia hendaklah memiliki 2 perkara didalam hidupnya.

Pertama : Taqwa dan
Kedua : Tawakkal

Imam al-Thabariy (imam kepada ahli tafsir) menjelaskan didalam kitabnya "Jaami' al-Bayaan an Ta'wwil aayi al-Quraan" atau lebih dikenal sebagai Tafsir al-Thabariy menjelaskan maksud bertakwa seperti berikut :
"Takut kepada Allah swt, maka dia mengerjakan apa yang telah diperintahkan olehNya, serta menjauhkan segala apa yang ditegah olehNya" .

Manakala tawakkal pula bermakna :
"Menyerahkan segala urusannya kepada Allah" atau lebih sesuai kita katakan sebagai berserah diri kepada Allah. Sebagaimana kita sering mengalunkan zikir pada lisan kita "hasbunallau wa ni'mal wakiil ni'mal mawlaa wa ni'mannashiir" (cukuplah Allah bagi kami sebaik-baik yang Mewakili, sebaik-baik yang Sembahan dan sebaik-baik Penolong".

Didalam ayat-ayat yang mulia ini, Allah swt telah berpesan dan mengajarkan kepada kita hamba-hambaNya, bahawa kejayaan itu dapat diraih dengan dua perkara iaitu bertakwa dan bertawakkal. Jika kedua perkara ini jika dimiliki oleh seorang hamba, maka tidak dapat diragukan lagi Allah akan mengasihi dan mencintainya sebagaimana dijelaskan didalam surah al-Hujurat ayat ke 13 yang bermaksud : "Sesungguhnya orang yang paling mulia diantaramu disisi Allah swt ialah yang paling bertakwa diantara kamu semua"

Bertaqwa menyebabkan seseorang dimuliakan oleh Allah swt, jika Allah swt sudah memuliakan seseorang, maka atas sebab apa dia tidak berhak mendapatkan pertolonganNya? Manakala Allah swt zat yang "Maha Agung" itu telah berjanji bagi mereka yang bertakwa akan memberikan mereka jalan keluar dari setiap urusannya.

Jika Allah swt telah campur tangan didalam urusan hamba-hamba yang bertakwa, maka boleh kita bayangkan bagaimana keadaan dan urusan seseorang yang Allah swt sendiri share dalam urusannya? Adakah hidupnya akan menjadi susah? Ataukah dia akan mendapatkan kebahgiaan? bayangkan ini campur tangan Allah swt dan bukan campur tangan manusia!!

Allah swt yang selesaikan problematika kehidupannya, Allah swt yang menunjukkan jalan keluar bagi setiap kesempitan hidupnya, Allah swt yang menjadi pendengarannya, penglihatannya, tangan dan kakinya demikian juga sentuhan-sentuhan nuraninya. Maka jika Allah swt telah berbuat, siapakah yang dapat menolak keinginanNya??

Manakala kunci kejayaan seorang muslim yang kedua iaitu bertawakkal.

Berserah diri kepada Allah swt menurut Rasulullah saw hendaklah dimulakan dengan usha yang bersungguh-sungguh, sebagaimana Rasulullah saw pernah ditanyakan oleh seorang sahabat : "Ya Rasulullah, adakah sudah dikatakan saya bertawakkal kepada Allah swt jika saya lepaskan kendaraan saya (Onta) kemudian saya melakukan solat?" maka Rasulullah saw bersabda : "Hendaklah engkau ikat kendaraanmu itu barulah engkau solat ".


Jika seorang hamba telah berusaha dengan bersungguh-sungguh seraya dia berdao kepada Allah swt semoga usahanya mendapatkan kejayaan, kemudian dia bertawakkal atau berserah diri, maka Allah swt telah berjanji didalam ayat tadi, bahawa Dia akan mencukupi apa yang diperluka oleh hamba-hambaNya.

Diriwayatkan oleh imam al-Tirmiziy

عن عمر بن الخطاب قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لو أنكم كنتم توكلون على الله حق توكله لرزقتم كما يرزق الطير تغدو خماصا وتروح بطانا

yang bermaksud :
Daripada Umar bin Khattab ra beliau berkata : Telah bersabda Rasulullah saw "Seandainya kamu semua bertawakkal kepada Allah swt sebenar-benar tawakkal, tentu Allah swt akan memberimu rezeki sebagaimana burung-burung yang diberikan rezeki, mereka pergi dipagi hari meninggalkan sarangnya dalam keadaan perut kosong, dan kembali dalam keadaan perut kenyang".

Jika membaca hadis ini mungkin terpikir oleh kita, betapa Agungya Allah swt yang mengatakan zatNya al-Razzaaq (Maha Pemberi Rezeki), burung yang tidak memiliki kerja tetap, tidak memilki pejabat, dapat hidup mungkin lebih bahgia berbanding kehidupan manusia, mereka dapat membesarkan anak-anaknya, siang mencari rezeki, malam dapat rehat dengan tenang bersama keluarganya.

Kita terkadang lebih teruk daripada burung-burung itu, kerana tidak ada sifat tawakkal dan pikiran kita hanya terfokuskan kepada target-target kehidupan yang bernuansakan materialistik dan kekayaan dunia belaka. Sehingga siang dan malam, tidak ada masa untuk mengingat Allah swt, manakala Allah swt menjelaskan didalam al-Quran bahawa siang itu untuk mencari nafkah dan malam untuk berdiam atau rehat.

Akhirnya, saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada sahabat semua, marilah kita raih kejayaan itu dengan dua perkara ketakwaan dan tawakkal, karena jika seorang telah memiliki kedua sifat ini, maka Allah swt berjanji akan menjadi penjamin didalam setiap urusannya. Maka siapakah yang lebih baik dan paling baik menjadi penjamin selain Allah swt?



Masyhuri Masud
IIUM (MIRKH Quran Sunnah)

No comments:

Post a Comment